Monday, January 8, 2018

(30 Gambar) Myvi Serba Baru Tampil Lebih Menarik


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) membuka tempahan model Myvi Serba Baru yang menampilkan rekaan dan ciri terbaru lebih menarik.

Lima varian ditawarkan pada harga bermula RM44,300 hingga RM55,300 tanpa insurans.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, model Myvi terbaru dilengkapi ciri keselamatan terkini dikenali sebagai Advanced Safety Assist (ASA) melalui kamera khas di cermin depan kereta.

“Myvi Serba Baru adalah 100 peratus rekaan tempatan yang dibangunkan selepas mendapat maklum balas daripada pelanggan dan orang ramai.

“Selain padat dengan pelbagai ciri keselamatan terkini dan aerodinamik, Myvi Serba Baru ini menawarkan pemanduan menarik selain lebih nilai untuk wang,” katanya pada Majlis Pengumuman Media di Perodua Sentral, Petaling Jaya, hari ini.

Aminar Rashid berkata, model baru ini membolehkan Perodua mencapai sasaran jualan 6,000 unit kereta sebulan bagi tiga bulan pertama.

Terdahulu, Perodua Myvi Serba Baru ditawarkan pada varian 1.3G Standard (MT) berharga RM44,300, 1.3G Standard (AT) berharga RM46,300, 1.3X Premium (MT) berharga RM48,300, 1.5 High (AT) berharga RM51,800 dan 1.5 Advance (AT) berharga RM55,300.

Varian 1.3L dan 1.5L dijana enjin DOHC Dual VVT-i dengan transmisi empat kelajuan automatik atau lima kelajuan manual (1.3G Standard saja).

Semua varian ditawarkan dengan ciri standard seperti lampu depan LED, butang penghidup enjin, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Tarikan (TRC) dan Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Varian 1.5L pula didatangkan dengan Eco Idle System, Built-In Toll Reader manakala 1.5 Advance dilengkapi ASA.

Enam warna ditawarkan iaitu hitam granite, hijau peppermint, merah lava, ungu mystical, perak glittering dan putih ivory.

No comments:

Post a Comment